Rakyat sambut baik jualan Flat PPR, hanya jika kelemahan diatasi

P9260216Rakyat mengalu-alukan jualan unit-unit flat PPR di Kuala Lumpur oleh kerajaan tetapi biarlah “kelemahan-kelamahan” diselesaikan.

Wakil kepada ahli parlimen Bandar Tun Razak berkata mereka menyambut baik langkah positif jualan unit kepada yang telah lama menyewa, namun mereka tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang dikenakan di dalam perjanjian jual beli yang akhirnya akan memberi impilikasi kepada pembeli.

Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan sebanyak 44,146 unit  PPR di bawah DBKL termasuk PPR MTEN dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dijual kepada penduduk.

Wakil khas Tan Sri Khalid Ibrahim (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak), Saudara Azman Abidin menjelaskan antara syarat-syarat yang dikenakan adalah yuran permulaan (seperti yuran guaman dan kos lain) mencecah sehingga RM5,900 yang perlu dijelaskan semasa menandatangan perjanjian dan caj penyelenggaraan bulan yang tinggi iaitu antara RM50 dan RM60. Ini semua tidak termasuk bayaran bulanan kepada Bank.

“Sebahagian daripada penduduk di sini adalah wargatua yang sudah tidak layak memohon pinjaman bank lagi,” kata Azman pada sidang media.

“Yang layak menerima pinjaman bank kemudian tidak mampu membayar bayaran bulanan, unit mereka berisiko disita bank”.

Beliau juga memberitahu tempoh permohonan untuk pembelian unit adalah terlalu singkat, hanya tamat 7 hari selepas taklimat diberikan.

Pegawai politik khas Tan Sri Khalid, saudara Othman Karim berkata Menteri Wilayah Persekutuan perlu memanjangkan tempoh permohonan 7 hari tersebut untuk memberi peluang kepada penduduk untuk membuat keputusan semasaknya dan mansuhkan yuran pendahuluan serta caj penyelenggaraan bulanan.

“Kami juga berharap Kerajaan dapat memperuntukan pinjaman melalui Kementerian Wilayah Persekutuan tanpa perlu membuat pinjaman bank yang mengenakan faedah.”

Pembantu khas Tan Sri Khalid, Chin Chee Kong memberitahu sesetengah flat seperti Sri Sabah, Sri Kota dan Desa Tun Razak telah melebihi usia 30 tahun. Kemudahan asasnya sudah uzur dan rosak, dengan paip dan tangki air yang bocor.

“Sebelum DBKL menjual unit-unit tersebut kepada rakyat, kami harap kemudahan-kemudahan ini dapat dibaiki dahulu.”

Lee Chaw Tay, penduduk PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak, nerkata harga jualan untuk unit seluas 560 kaki persegi melebihir RM30,000.

“Kami harap kerajaan dapat menjual kepada kami dengan harga yang lebih murah kerana kami telah lama membayar sewa.” kata Lee, 56.

Menurut maklumat yang diperolehi, di Bandar Tun Razak, PPR seperti Sri Melaka, Sri Johor, Ikan Emas, Sri Alam dan Sri Laksamana tidak akan dijual. Wakil-wakil penduduk menyifatkannya tidak adil.

Jelas Azman semua ahli parlimen Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat hujung minggu ini untuk membincangkan rungutan rakyat terhadap syarat-syarat yang dikenakan sebelum membawanya ke Kementerian Wilayah Persekutuan.

Semasa dihubungi, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan berkata tarikh tutup 7 hari berkenaan tidak patut menjadi alasan kerana isu penjualan unit-unit PPR telah diperkatakan bertahun-tahun lamanya.

“Jadi ia bukan hanya 7 hari. Rakyat sudah maklum yang kita telah beritahu hal penjualan uni-unit tersebut sebelum ini.”

Berkenaaan dengan yuran pendahuluan semasa menandatangan perjanjian jual beli,  Saravanan berkata beliau akan membincangkannya dengan Menteri Wilayah Persekutuan.

Tentang kenapa sebahagian PPR dijual dan sebahagian lain tidak dijual, beliau menjawab ada golongan yang tidak mampu membeli rumah dan unit-unit simpanan juga diperlukan sekiranya berlaku bencana alam.

Leave a comment