PRK Hulu Selangor: Majoriti undi rosak 2008 tak dipangkah

KUALA LUMPUR, 11 April— Calon-calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini bukan sahaja dijangka akan berusaha mengekalkan undi penyokong tegar, malah dilihat akan meletakkan harapan untuk mengurangkan undi rosak dalam usaha menaikkan majoriti.

Daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor dua bahagian mencatatkan undi rosak lebih besar berbanding majoriti pada 8 Mac 2008. Selain Hulu Selangor, satu lagi ialah kerusi Kuala Selangor.

Timbalan Presiden MIC tewas dengan perbezaan 198 undi sedangkan undi rosak yang direkodkan adalah sebanyak 1,466 atau tujuh kali ganda manakala di kerusi Kuala Selangor, yang dimenangi calon PAS, jumlah undi rosak direkodkan 894 berbanding majoriti 862.

Kerusi-kerusi Parlimen di Selangor yang mencatatkan undi rosak atau ditolak melebih 1,400 undi ialah Selayang (1,506), Hulu Langat (1,401), Serdang (2,072), Puchong (1,580), Subang (2,079) dan Kapar (3,064). Bagaimanapun dari segi peratusan berbanding jumlah yang keluar mengundi, kadar dicatatkan Hulu Selangor adalah tinggi.

Rekod pilihan raya umum 2004 menunjukkan jumlah undi rosak yang direkodkan di Hulu Selangor tidak jauh berbeza berbanding dua tahun lalu.

Pada tahun 2004, Palanivel menang untuk buat penggal keempat dengan undi rosak direkodkan 1,406.

Bagaimanapun ketika pilihan raya umum enam tahun lalu undi rosak tidak begitu signifikan kerana majoriti diperoleh Palanivel adalah sebanyak 14,483 undi — dilihat sebagai kedudukan yang selesa untuk wakil rakyat empat penggal.

Pegawai-pegawai jentera pilihan raya Palanivel, yang namanya telah dikemukakan oleh MIC untuk pertimbangan pucuk pimpinan BN, mendakwa kira-kira 1,000 daripada 1,466 kertas undi rosak melibatkan kertas undi yang dimasukkan ke dalam peti undi tanpa sebarang tanda.

“Kertas-kertas undi ini dimasukkan ke dalam peti undi tanpa meletakkan tanda pangkah, bermakna mereka ambil kertas undi dan sengaja memasukkan tanpa memangkah,” kata pegawai itu kepada The Malaysian Insider.

Pembantu-pembantu Palanivel itu juga mendakwa sebahagiannya besarnya adalah undi protes, berpunca daripada kemarahan kakitangan awam terhadap kepimpinan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan yang gagal menunjukkan prestasi baik.

Sejauh mana benarnya andaian itu masih boleh dipersoalkan dengan mengambil kira 1,406 undi rosak yang direkodkan pada pilihan raya umum 2004.

Undi rosak pada 2008 cuma meningkat 60 berbanding 2004.

Menjawab andaian itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider mengakui wujudnya sejumlah undi rosak ataupun dalam istilah pilihan raya ia dianggap sebagai “undi ditolak”.

Kata beliau, fenomena itu didapati berlaku di kebanyakan bahagian pilihan raya umum ke-12.

“Biasanya undi ditolak adalah dalam lingkungan dua peratus… 200, 400 undi, ada bahagian yang sampai 400, sampai 500… tetapi di Hulu Selangor jumlahnya adalah tinggi. Hulu Selangor saya anggap tinggi,” kata beliau.

Undi ditolak itu termasuklah kertas-kertas undi yang dipulangkan kosong ataupun dimasukkan ke dalam peti undi tanpa dipangkah sama sekali, jelas beliau.

“Bagaimanapun selain tidak faham cara betul untuk memangkah, mengapa pengundi berbuat (undi protes) cuma mereka sahaja yang tahu,” kata Wan Ahmad ketika dihubungi.

Wah Ahmad memberitahu, sesuatu kertas undi akan dianggap sebagai “undi ditolak’ jika tidak ditanda ataupun tanda pangkah berada di luar petak ditetapkan ataupun menconteng simbol calon-calon yang bertanding.

“Bagaimanapun, biasanya kami akan menerima sebarang tanda, bukan semestinya tanda dalam bentuk pangkah pada petak yang betul, yang disediakan pada kertas undi,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s