Cintai Rasul Selagi Nyawa Dikandung Badan

Maulidur Rasul, dalam bahasa mudah ia disebut Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Nabi Muhammad S.A.W. atau bahasa slanga Hari Jadi Nabi. Tarikhnya 12 Rabi’ul Awal Kalendar Hijrah. Tahun ini ia bersamaan Jumaat, 26 Februari.

Setiap tahun ritual atau pendekatan yang sama dilakukan. Berarak secara beramai-ramai sambil memegang sepanduk, diselangi selawat ke atas junjungan baginda. Kemudian berkumpul di stadium untuk mendengar ucapan-ucapan dan penyampaian cenderamata serta anugerah tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan. Itu acara negara.

Televisyen pula dengan acaranya yang tersendiri. Diskusi pagi bersama pengacara-pengacara TV dengan segak berpakaian baju Melayu dan berbaju kurung sambil di skrin TV memaparkan ucapan-ucapan individu yang ditujukan kepada orang perseorangan. Selain itu, TV menayangkan konsert Maulidur Rasul yang menampilkan penyanyi-penyanyi bertudung dan pakaian aneka ragam sambil mendendangkan alunan lagu pujian ke atas Nabi dan Tuhan. Pada petangnya menyiarkan kisah-kisah drama, diskusi petang bersama ustazah seiring dengan promosi kosmetik untuk kecantikan wanita, nyanyian kumpulan Pop Dakwah dan dokumentari syiar Islam serta tidak terkecuali slot Samarinda.

Acara rakyat pula, ialah mengambil peluang sempena cuti umum untuk membawa kaum keluarga berjalan-jalan dan bersiar-siar seperti berkelah di Ulu Yam, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Suria KLCC dan sebagainya, paling tidak bersantai di rumah sahaja.

Ini adalah antara cebisan-cebisan aktiviti atau antara rancangan-rancangan yang dilakukan oleh “umatku, umatku” yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. tatkala hampir menghembuskan nafas terakhir.

Persoalannya, di sebalik kemeriahan sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan, adakah kita benar-benar sedar dan insaf akan peranan sebenar kita sebagai individu-individu muslim yang menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan serta “role model” dalam seluruh aspek kehidupan? Berapa ramaikah antara kita yang mempergunakan waktu senggang kita pada hari-hari lain untuk menghayati sirah nabi, menekuni susah payah nabi untuk membawa Risalah Islam serta mengucapkan selawat kepada Baginda? Atau memohon kepada Allah agar dilimpahi rahmat ke atas roh Baginda kerana dengan perit jerih perjuangan Baginda, Islam terus mekar dan tersebar ke pelusuk nusantara sehingga nenek moyang dan kita sendiri dapat mengecap nikmat Islam?

BIOGRAFI AGUNG

Nabi Muhammad SAW telah diputerakan di Kota Makkah pada 12 RabiulAwal. Kelahiran Baginda tidak dapat disaksikan oleh bapanya sendiri yang meninggal dunia ketika Nabi masih dalam kandungan ibunya. Namun, kelahirannya disambut baik sebagai bayi istimewa oleh semua warga Makkah terutamanya ahli keluarga Bani Hashim. Antara yang paling gembira akan kelahiran Nabi adalah bapa saudara baginda, Abu Jahal. Anak yatim ini dibesarkan oleh ibunya sehingga ibunya sendiri meninggal dunia sewaktu menziarahi pusara bapanya. Nabi kemudian diletakkan di bawah jagaan datuknya, Abdul Mutalib dan seterusnya bapa saudara baginda, Abu Talib setelah Abdul Mutalib meninggal dunia.

Ujian dan cubaan dari Allah SWT sejak dari usia bayi sehingga baginda dewasa. Hikmahnya, bagi mengentalkan jiwa baginda sebelum diberi amanah besar sebagai penyampai agama Allah untuk melimpahi rahmat ke seantero alam.

Pada usia 40 tahun, baginda telah “diijazahkan” di Gua Hira’ sebagai “Utusan Terakhir”.  Malaikat Jibril dalam bentuk asalnya menyampaikan wahyu pertama dari surah al-Alaq dengan seruan “Iqra” atau “Bacalah!”. Pelantikan nabi sebagai Nabi Akhir Zaman bukanlah dalam acara gilang-gemilang, tidak dibentangkan permaidani merah! Bahkan, baginda pulang dalam keadaan gementar dengan beratnya beban yang dipikul.

Ketika diisytiharkan kenabian Baginda, orang yang pertama meluahkan cacian kepada baginda adalah bapa saudara baginda, Abu Lahab. Sementara, seorang lagi bapa saudara baginda, Abu Jahal menjadi perancang utama bagi menggagalkan usaha dakwah nabi. Bukan sedikit tentangan yang nabi terima dalam usaha baginda menyebarkan Islam.

Malah, ketika konvoi dakwah Nabi ke Taif, baginda diserang dengan batu sehingga darah yang keluar dari batang tubuh nabi memenuhi sepatu baginda. Pada ketika itu datang malaikat penjaga bukit memohon izin kepad baginda agar diazabkan Bani Taif. Nabi dengan belas kasihan memaafkan mereka malah memohon doa kepada Allah agar mereka diberi hidayah.

Demikian, secebis kisah pengorbanan dan perjuangan Rasulullah dalam menyampaikan kalimah Allah. Harapan baginda hanyalah satu, agar umat baginda dapat meletakkan Allah sebagai satu-satunyaTuhan yang disembah, satu-satunya tumpuan kecintaan, satu-satunya sumber rezeki dan satu-satunya penentu hukum. Dengan ujian yang begitu getir baginda lalui, saban hari menyabung nyawa, bersengkang mata, bermandi darah dan keringat, pada hari ini umat Islam di Malaysia khususnya dalam menunaikan ketaatan kepada-Nya tanpa sebarang halangan. Sewajarnya kita mensyukuri nikmat Islam yang Allah kurniakan kepada kita dan mengenang pengorbanan baginda atas keislaman kita.

APA PERANAN KITA?

Sebagai Muslim yang beriman bahawa Allah satu-satunya Tuhan yang disembah dan Nabi Muhammad sebagai utusannya, beberapa perkara dapat kita amalkan seperti:

Menzahirkan kecintaan kita kepada Baginda.

Daripada Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Demi jiwaku berada di tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku dikasihi olehnya lebih daripada ayah dan anaknya.”
(H.R Bukhari-Muslim)

Menjadikan baginda sebagai role model dalam setiap perkara

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah suri tauladan bagi mereka yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya dan beramal dengan amalan soleh dan tidak menyekutukan persembahan kepada Tuhannya Yang Maha Esa.” (Al-Ahzab:12)

Membudayakan iqra’ (menuntut ilmu) dalam kehidupan

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan muliakanlah Tuhanmu.” (Al-Alaq:1-3)

Menghidupkan Sunnah baginca dalam kehidupan peribadi, rumahtangga dan masyarakat dan bernegara

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali ‘Imran:31)

Mengimani bahawa setiap perkara yang dianjurkan Nabi membawa hikmah yang besar bahkan dilimpahi rahmat

“dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”(al-Anbiya’:107)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s