Positivisme Ku Li dalam tuntutan royalti

oleh Wan Nik Wan Yussof (Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan)

Ku Li seorang positivisme

Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) telah merealisasikan prinsip peribadinya dengan jaya sekali apabila tampil berceramah di Stadium Sultan Muhammad IV atas isu royalti minyak Kelantan.  Penampilan itu sebenarnya atas undangan penganjur sebuah badan gabungan 50 NGO bernama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) pada 28 Januari lalu.

Penganjur (GEGAR) merupakan gandingan Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan (GABUNGAN) dengan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT).  Maka, majlis ceramah perdana itu bukan anjuran Kerajaan Negeri atau parti PAS. Penampilan Ku Li pada malam itu sebenarnya adalah atas prinsip beliau seorang tokoh positivisme yang telah membukti orientasi struktural fungsionalisme kepada rakyat dan ibu pertiwinya Kelantan.  Struktural fungsionalisme ialah satu perspektif dalam sains sosial yang merujuk kepada struktur sosial yang saling berfungsi di antara unsur-unsur yang diterima masyarakat seperti norma, adat, tradisi dan institusi. Bagaimana struktur sosial itu berfungsi dengan baik adalah satu gambaran perpaduan organik (organic solidarity) yang bersifat positivisme.

Justeru itu, peranan Ku Li pada majlis ceramah perdana itu adalah suatu gambaran yang memperlihatkan kewujudan masyarakat Kelantan yang tetap utuh berpegang kepada teras pembinaan masyarakat yang rasional dan bersifat organisma. Di sana akan berlakunya kerjasama erat secara sedar atau tidak sedar bekerjasama ke arah mencapai keseimbangan sosial (social equilibrium) yang menyeluruh.

Kesanya, kesemua fenomena sosial dan kebudayaan akan dilihat saling berfungsi membentuk suatu persefahaman dan bekerjasama. Maka logiknya Ku Li memainkan peranan positif mencetuskan kelangsungan fenomena tuntutan royalti minyak dan sekali gus menolak penyaluran wang ihsan.

Fenomena itu dapat dikatakan sebagai suatu realiti perpaduan sosial (social solidarity) mencapai integrasi yang dapat dilihat secara bermasyarakat, berkumpulan dan berjiran. Ia sebenarnya mengukuhkan lagi hubungan sosial yang kental antara individu-individu dalam masyarakat.

Kekentalan hubungan sosial itu telah mencorakkan nilai keunikan masyarakat yang menyamai semangat `asobiyah’ yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun sebagai perpaduan sosial yang menitik beratkan penyatuan (unity), kesedaran berkumpulan, ikatan sosial yang bersifat kesukuan (tribalism) dan kepuakan (clanism).

Penglibatan untuk rakyat

Justeru itu, penglibatan Ku Li selaku ahli parlimen Gua Musang juga ketua bahagian Umno Gua Musang serta mantan Menteri Kewangan adalah berfungsi secara struktural dalam konteks penghayatan semangat penyatuan rakyat Kelantan di dalam menuntut hak royalti minyak.

Semangat itulah yang mencorakkan nilai positivisme dan rasionalisme Ku Li mendirikan prinsip kebebasan bersuara di hadapan puluhan ribu rakyat Kelantan yang hadir memenuhi padang Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Maka, Ku Li telah menggunakan ruang kebebasan itu dalam mencetuskan kesedaran rakyat bahawa isu royalti minyak itu sebenarnya adalah menyentuh hak dan keadilan untuk rakyat, pengukuhan semangat federalisme Pusat-Negeri, merealisasikan kebenaran dan menolak penyelewengan fakta pihak pemimpin oportunis.

Walaupun demikian, nilai positivisme Ku Li itu tetap tidak disenangi oleh pemimpin Umno. Rata-rata pemimpin begitu ‘tergeliat panas’ sehingga dilihat menggelabah sehingga membuat serangan balas bagi menidakkan kebenaran fakta dikemukakan Ku Li berhubung hak negeri Kelantan dalam menuntut royalti minyak dari Petronas.

Serangan terhadap Ku Li

Sehingga turut mendorong media pengampu Umno bertindak memutar belit kenyataan Ku Li, lalu menggambarkan Ku Li sebagai seorang yang tidak berprinsip (berdolak-dalik) dan tak ketahuan (membuang masa).

Antara media itu ialah Berita Minggu (31 Januari 2010) dilihat mendahului Utusan Melayu bertindak menyerang Ku Li secara semberono tatkala memaparkan di muka depan dengan tajuk ‘dolak-dalik Ku Li. Kemudian akhbar yang sama keesokan harinya (1 Februari) menuding lagi ke arah Ku Li dengan tajuk ‘Ku Li buang masa,’ juga di muka depan.

Agenda yang kira-kira sama motifnya, turut juga dimainkan oleh TV apabila menyerang pandangan Ku Li dengan nada keras; menuduh Ku Li sebagai seorang yang tidak konsisten dan berdolak-dalik. Di samping mempamerkan keratan akhbar komentar Ku Li mengenai royalti minyak di Terengganu kira-kira 10 tahun lalu yang tidak berani menyiarkan secara telus kenyataan Ku Li.

Paling teruk ialah pendekatan pemberitaan Berita Harian (1 Februari), apabila memetik berita berasaskan ‘sumber perundangan’ yang jauh tersasar dari konteks kenyataan sebenar Ku Li ketika berceramah mahupun semasa sidang media pada malam 28 Januari di Stadium Sultan Muhammad IV. Akhbar berkenaan telah melaporkan secara tersasar yang kononnya Ku Li menyarankan supaya isu royalti minyak Kelantan dirujuk ke mahkamah. Sebenarnya, Ku Li tidak langsung mengungkapkan kenyataan sedemikian!!

Ku Li menegakkan kebenaran

Kenyataan sebenar Ku Li adalah di luar konteks yang diberitakan oleh Berita Harian itu. Ku Li secara rasional telah menolak bulat-bulat hasrat untuk membawa kes tuntutan royalti minyak itu ke mahkamah!! Menurutnya, “jika semua perkara nak diselesaikan di mahkamah apa maknanya diadakan perjanjian dan akta. Kita kena patuh kepada perjanjian.”

Selanjutnya, Ku Li memperjelaskan prinsip peribadinya yang bersedia tampil di khalayak rakyat Kelantan, “apa yang saya suka asalkan tidak melanggar perlembagaan dan undang-undang yang terpakai di negara ini serta disiplin parti.”

“Saya bukan pak turut, malah pada zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, saya tidak pernah menjadi pak turut.

Selanjutnya, Ku Li menegaskan kehadirannya pada malam tersebut adalah berdasarkan prinsipnya yang mahu menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang ditindas selama ini.

“Sebelum saya hendak datang sini ada orang hendak halang saya kerana melanggar disiplin parti tetapi apa saya peduli, saya hanya mahu menyatakan kebenaran selepas melihat rakyat Kelantan ditindas. Sepatutnya apa yang saya nyatakan pada malam ini telah dinyatakan 36 tahun yang lalu.

“Sebagai orang yang terlibat dalam penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, saya tahu kerajaan negeri sememangnya berhak untuk menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan bertindih dengan Thailand.”

Sebenarnya, pola prinsip Ku Li itu adalah semacam dengan pola prinsip Tuan Guru Menteri Besar Kelantan yang menegaskan (di dalam blognya http://www.blogtokguru.com), “betapa pihak Kerajaan Pusat banyak membuat dalih.

Mereka tidak mahu berlaku adil untuk Kelantan. Mereka telah mereka-reka pelbagai tafsiran di sebalik perjanjian yang dibuat. Malah telah memalingkan hakikat keadilan kepada keputusan yang zalim. Mereka menolak membayar royalti, dan menukar royalti kepada wang ihsan!!

Sikap songsang pemimpin Umno

Apa yang berlaku kemudiannya, Ku Li bukan sahaja menerima penangan mainan pembohongan media, malah berlaku juga ulasan songsang beberapa kerat pemimpin Umno yang iri hati dengan prinsip positivisme Ku Li.

Antaranya, Berita Harian (30 Januari) menyiarkan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, sebagai berkata, “Kita sedang meneliti, belum dapat apa yang diperkatakan oleh Kuli (Tengku Razaleigh)… bagi tempoh untuk dapatkan laporan ucapannya dan sebagainya,” Kenyataan ini suatu gambaran kemungkinan Ku Li bakal berdepan dengan tindakan disiplin parti.

Turut memberi komen terhadap tindakan Ku Li ialah Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian yang mahukan mahu Tengku Razaleigh melepaskan jawatan yang disandangnya kini dan menyertai Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan (Pusat). Anuar turut mengungkit, “sebagai Ahli Parlimen BN yang mempunyai banyak pengalaman beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian.”

Apa pun, Malaysiakini (1 Februari) telah melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan sebagai berkata, “walaupun kerajaan Kelantan telah menolak tawaran menyertai jawatankuasa pengurusan wang ihsan namun peluang itu masih lagi terbuka buat kerajaan negeri untuk menyertainya demi masa depan rakyat secara keseluruhan.

“Kerajaan negeri perlu memikirkan secara serius penolakan itu kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat Kelantan yang sememangnya mahukan pembelaan dan pembangunan.

Rumusan

Persoalannya, kenapa rakyat yang menjadi cagaran hujah pemimpin Umno? Sedangkan prinsip kebenaran tidak cuba ditegakkan melalui Seksyen 4, Perjanjian Petroleum yang dimateraikan 1975 antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan; pembayaran wajib wang tunai (cash payment) sebagaimana ditegaskan oleh menteri besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz; Petronas wajib membayar kepada Negeri Kelantan. Prinsip keadilan dan kebenarnan ini telah tidak cuba dipatuhi oleh pemimpin Kerajaan Pusat.

Justeru itu, rasional bagi Ku Li yang membayangkan betapa imej negara di mata dunia begitu teruk apabila perjanjian yang kita sendiri materai, kita tidak cuba ikut.

Persoalan di sebalik kesedaran yang dibina oleh Ku Li itu, adakah pihak pelabur asing akan percaya kepada kita? Sudah pasti tidak. Maknanya, isu royalti sedikit sebanyak mendedahkan nilai integriti kerajaan BN yang sudah jatuh pada nilai kepercayaan dunia.

Demi maruah dan integriti negara, logiknya Perdana Menteri dapat mengkaji semula keputusan pemberian wang ihsan itu kepada melunaskan pembayaran wang tunai (royalti) kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Itulah kehendak sebenar rakyat Kelantan yang telah memberi mandat kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz mentadbir negeri sejak 20 tahun lalu.

Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik,
Menteri Besar Kelantan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s