Pusat Komuniti BTR yang menyedihkan

TINGKAT atas Pusat Komuniti Bandar Tun Razak, Cheras lengang kerana tiada pengunjung dan hanya lima daripada 20 kedai dibuka . – utusan/Hayat Sueet.


Kompleks tak lengkap – Utusan


CHERAS – Pusat Komuniti Bandar Tun Razak yang mula dibuka pada 2005 itu bukan sahaja menempatkan ruang niaga barangan basah dan kering, tetapi juga gerai makan serta pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Lokasi kompleks berkenaan juga cukup strategik.
Selain mempunyai pelbagai kemudahan termasuk berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Bandar Tun Razak, ia turut dikeliling perumahan awam DBKL yang dianggarkan mempunyai kepadatan penduduk mencecah 8,000 orang.


Namun, kompleks itu ternyata masih gagal menarik perhatian orang ramai.


Pelbagai masalah dibangkitkan peniaga. Antaranya, tahap keselamatan kurang memuaskan, tempat letak kereta untuk penyewa premis tidak disediakan, ketiadaan peti surat dan beberapa masalah kecil lain.


Peniaga mendakwa sepanjang lima tahun beroperasi, tiada usaha promosi dilakukan, termasuk kononnya akan diadakan majlis perasmian sebagaimana yang pernah diwar-warkan sebelum ini.


Mereka mendakwa peniaga di kawasan berkenaan seolah-olah dianak tiri. Ini jelas jika dilihat pada tahap keselamatan di bangunan itu sendiri.


Selain mendakwa beberapa premis perniagaan mereka telah beberapa kali dimasuki pencuri, lebih mengecewakan peniaga apabila kompleks berkenaan turut dijadikan lokasi kegiatan tidak bermoral pihak yang tidak bertanggungjawab.


Peniaga mendakwa hampir setiap pagi kondom ditemui di dalam bilik air kompleks berkenaan.


Mereka mendakwa kegagalan pihak bertanggungjawab mengawasi tempat berkenaan menyebabkan kegiatan tersebut semakin menjadi-menjadi.


Lebih mendukacitakan, kepala paip air juga sudah tidak kelihatan kerana telah dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan mendapati dakwaan peniaga di sini ada kebenarannya, menyebabkan mereka merayu agar DBKL melakukan sesuatu bagi memastikan kompleks berkenaan tidak terus disalahgunakan.


Sepanjang berada lebih dua jam di ruang niaga tingkat dua yang menempatkan butik kecantikan, butik pakaian, kelas memandu dan sebagainya itu sememangnya suasananya tidak selesa.


Daripada 20 premis, hanya lima daripadanya dibuka.


Meninjau keadaan bilik airnya, kepala paip sama ada di sink atau di tandas sudah hilang.


Sementara itu, sekeping papan yang didakwa peniaga sebagai alas golongan tidak bermoral melakukan perkara terkutuk turut disembunyikan di salah sebuah tandas bilik air berkenaan.


Walaupun pada masa tinjauan dilakukan tidak kelihatan kondom seperti didakwa, gambar yang ditunjukkan peniaga yang dirakamkan melalui telefon bimbit sudah membayangkan betapa lokasi tersebut senang diceroboh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.


Sehubungan itu peniaga merayu, DBKL agar turun padang melihat sendiri apa yang perlu dilakukan demi memastikan kompleks berkenaan benar-benar mencapai matlamatnya seterusnya mengelakkan ia disalah guna.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s