Menteri Wilayah yang pekak badak…

NORIZAH Hussien (kanan) dan seorang rakannya terpaksa mengangkut air dari rumah untuk digunakan di premis perniagaannya.


Peniaga angkut air dari rumah (Utusan)

KUALA LUMPUR 25 Jan. – “Kami tidak bermaksud menuding jari, menyalahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seratus peratus, tetapi apa yang kami minta daripada pihak berkuasa tempatan itu agar tidak memandang sebelah mata terhadap keadaan peniaga di sini”.

Itulah mesej yang ingin disampaikan Norizah Hussien, salah seorang peniaga di Kompleks Perniagaan dan Komuniti Bandar Tun Razak, di sini sebagai mewakili rakan-rakan peniaga lain yang mendakwa ekoran sikap ‘kurang prihatin’ DBKL itu jugalah menjadi penyebab perniagaan mereka semakin terjejas.

Norizah yang membuka perniagaan spa dan butik kecantikan mengakui gagal membayar sewa kepada DBKL sejak beberapa bulan lalu berikutan perniagaannya terjejas kerana premis perniagaannya semakin kekurangan pelanggan.

Keadaan itu didakwanya berpunca daripada pelbagai masalah yang menuntut keprihatinan PBT itu bagi menyelesaikannya segera.

Selain masalah bekalan air yang tidak disambungkan ke premisnya, penggunaan kipas siling yang hanya dihadkan satu atau dua buah setiap hari di ruang legar sedikit sebanyak merencatkan hasrat pelanggan untuk berkunjung.

“Walaupun harga yang ditawarkan cukup rendah berbanding butik kecantikan lain, kedai saya masih gagal menarik perhatian pelanggan.

“Keadaan ini benar-benar menjejaskan periuk nasi saya,” ujar wanita berusia 37 tahun itu kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.

Beliau berkata, berbanding sebahagian besar perniagaan lain di situ, dia memerlukan bekalan air bagi melakukan rawatan wajah pelanggan.

“Bayangkan hampir setiap hari saya mengangkut dua tong air dari tingkat bawah ke aras dua. Jika tempoh satu jam diambil kebiasaannya dalam ketika membuat rawatan wajah pelanggan, tempoh tiga jam terpaksa diambil gara-gara ketiadaan bekalan air disambungkan ke premis,” ujarnya.

Difahamkan, sebelum ini dia telah melakukan penyambungan air menggunakan paip getah dari bilik air ke premisnya, namun tindakan itu dihentikan selepas mendapat arahan pihak DBKL.

Sejak itu, memandangkan tiada pilihan lain, dia terpaksa mengangkut air dari rumahnya di kawasan perumahan berhampiran sehinggalah ke hari ini.

“Saya telah menulis surat kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi mendapatkan meter air, namun saya difahamkan perlu mendapat kebenaran DBKL.

“Apa yang saya harapkan pihak DBKL mengambil kira permohonan saya memandangkan ia amat penting bagi peniagaan saya,” ujarnya, yang turut mempersoalkan status bekalan air sedangkan dalam surat perjanjian yang ditandatangani dia telah membayar deposit bekalan air.

Kini beliau mengharapkan keprihatinan pihak pengurusan atasan DBKL agar turun padang dan melihat sendiri bagaimana keadaan peniaga-peniaga di sini.

Penyewa premis di bahagian kering Pusat Komuniti Bandar Tun Razak di sini merayu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar lebih prihatin terhadap nasib peniaga di sini.

Mereka mendakwa setelah lima tahun kompleks berkenaan dibuka, semakin ramai peniaga di situ yang tutup kedai, sebaliknya hanya menjadikan ruang yang disewa tempat meletakkan barang perniagaan.

Rata-rata peniaga yang ditemui menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pihak DBKL sekiranya pihak berkuasa tempatan itu ada usaha-usaha untuk memajukan kompleks berkenaan.

Seorang penyewa, Fatimah Zakaria, 26, berkata, sejak memulakan perniagaan kedai jahit hampir dua tahun lalu dia dapat merasakan kunjungan pelanggan semakin berkurangan.

Menurutnya, kurang promosi juga menyebabkan tempat tersebut kurang dikenali.

Dia turut mengakui selain perkara-pekara yang disebutkan, ketiadaan peti surat juga menyulitkan penyewa terutama berkaitan surat urusan rasmi.

Bagi Sudin@Charik Sundari, 34, walaupun baru sebulan menyewa di premis itu dia berpendapat usaha-usaha promosi perlu dilakukan bagi memastikan ruang niaga tersebut dikenali.

Dia yang menguruskan Koperasi Insan Bantu Insan Kuala Lumpur (IBI) Berhad itu berkata antara lain penubuhan IBI ialah untuk menyatukan ahli-ahli yang terdiri daripada peniaga-peniaga di Bandar Tun Razak mencari penyelesaian bagi menyemarakkan lagi perniagaan mereka.

“Apa yang saya harapkan lebih ramai yang menjadi ahli sekali gus menyokong usaha-usaha promosi di sini,” ujarnya, menambah IBI mempunyai kira-kira 190 ahli setakat ini.

Turut berkongsi perasaan sama, Rokiah Kamarudin, 41.

Dia yang membuka perniagaan menjual buku dan surat khabar sejak lebih dua tahun lalu mengakui usaha-usaha promosi perlu dilakukan demi memastikan ruang niaga tersebut dikenali.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s